www.auramuslim.com

Diari Khalifah Di Bumi Bertuah..

Archive for the ‘Suara Mahasiswa’


MANIFESTO TUNTUTAN PRO MAHASISWA UM KEPADA SEMUA PARTI POLITIK SEMPENA PRU-12

Menyedari dan menginsafi bahawa mahasiswa merupakan jurubicara  masyarakat di samping merupakan pemimpin Negara pada masa akan datang, maka Pro Mahasiswa Universiti Malaya telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu manifesto, tuntutan dan harapan kepada semua parti politik utama di Negara ini yang akan bertanding dalam pilihanraya umum ke-12 yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008.

Antara tujuan manifesto ini diwujudkan adalah untuk melahirkan harapan, permintaan dan pandangan yang kritikal daripada kami selaku aktivis gerakan mahasiswa kepada semua parti politik utama di Negara ini sama ada di posisi kerajaan atau pun pembangkang. 

Dalam pada itu, selaku pertubuhan yang bebas dan tidak terikat kepada mana-mana parti politik, manifesto ini juga dilihat amat sesuai untuk dijadikan cerminan kepada permintaan dan harapan rakyat pelbagai kaum di Negara ini yang sememangnya dahagakan pembangunan yang seimbang, kemajuan ekonomi yang lebih pesat, pembasmian kemiskinan yang lebih bersungguh-sungguh serta perpaduan kaum yang lebih erat. 

Selain itu, ianya juga merupakan salah satu agenda perjuangan untuk mempertahankan hak kebajikan mahasiswa khususnya di peringkat nasional dalam usaha meneruskan desakan untuk memansuhan caj perkhidmatan PTPTN sebanyak 3% yang dilihat membebankan sebahagian besar mahasiswa di Negara ini. 

Justeru amat diharapkan agar manifesto yang terdiri daripada lima elemen iaitu dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, hak asasi dan sosial dapat dilihat dari perspektif yang positif tanpa ada sebarang keraguan dan prajudis terhadapnya. Semoga dengan adanya manifesto ini berkeupayaan menjadi pendorong kepada parti-parti politik yang bertanding untuk lebih berusaha membangunkan rakyat dan Negara ini khususnya selepas berjaya membentuk kerajaan kelak dalam usaha membentuk Bangsa Malaysia yang seimbang, maju dan sejahtera.

TUNTUTAN MAHASISWA DARI ASPEK POLITIK

1) Membariskan senarai calon dan barisan kabinet yang bersih daripada sebarang kes salah laku moral serta bebas daripada segala anasir buruk seperti rasuah, korupsi, kronisme dan nepotisme.

2) Memansuhkan semua sistem politik kepartian yang bersifat rasis, dan perkauman, sebaliknya menggalakkan pengaplikasian dan penubuhan parti politik yang bersifat multi racial dan terbuka keanggotaannya kepada semua kaum.

3) Menggagaskan penubuhan Akta Perpaduan Kaum bagi memastikan tiada isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan api perkauman di Negara ini berlaku seperti mana yang terjadi dalam peristiwa 13 Mei 1969.

TUNTUTAN MAHASISWA DARI ASPEK EKONOMI

1) Menurunkan harga minyak pada kadar yang sesuai dan seimbang, di samping menjamin dan memastikan harganya berada pada kadar yang berpatutan sesuai dengan kemampuan rakyat pelbagai lapisan di Negara ini.

2) Membentuk suatu mekanisme dan pendekatan yang lebih efektif seperti Majlis Harga Negara (MHN) untuk membendung masalah inflasi dan kenaikan harga barang daripada terus berlaku membebankan rakyat.

3) Membentuk suatu formula yang seimbang atau equal formula dalam sektor ekonomi khususnya bagi menjamin sumber kekayaan Negara dapat diagihkan sama rata di samping memastikan tiada kaum yang terpinggir dalam arus pembangunan Negara.

TUNTUTAN MAHASISWA DARI ASPEK PENDIDIKAN

1) Memansuhkan caj perkhidmatan (kadar faedah) Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikenakan sebanyak 3% kepada peminjam di samping menyediakan inisiatif pendidikan percuma kepada semua rakyat khususnya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

2) Memberikan kebebasan sepenuhnya atau academic freedom kepada ahli-ahli akademik di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengkritik dan memberikan pandangan terhadap sesuatu dasar atau polisi Negara.

3) Mempertahankan bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan Negara di samping tidak menafikan hak dan kepentingan bahasa-bahasa ibunda kaum bukan melayu yang lain.

4) Mempertahankan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil supaya ianya tidak pupus dan lenyap pada masa akan datang.

TUNTUTAN MAHASISWA DARI ASPEK HAK ASASI RAKYAT

1) Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terutamanya seksyen 15 yang dilihat menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara sepetimana yang berlaku ke atas Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Putra Malaysia (PBTUPM) yang masih belum mendapat kelulusan untuk menubuhkan persatuan.

2) Memulihkan semula sistem demokrasi di Negara ini supaya tidak wujudnya sekatan dan kongkongan ke atas media dan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan.

TUNTUTAN MAHASISWA DARI ASPEK SOSIAL

1) Menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Pemulihan dan Penambahbaikkan Polis (IPCMC) untuk memastikan semua anggota polis dan pasukan keselamatan bebas daripada salah laku dan korupsi.

2) Memperbaiki dan menambahbaikkan sistem perkhidmatan awam di Negara ini seperti kemudahan perkhidmatan di hospital, kemudahan api dan air di IPTA dan sebagainya supaya lebih efisyen dan sistematik.

3) Memupuk semangat perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat pelbagai kaum di Negara ini melalui pelbagai program dan rancangan yang dilaksanakan dalam usaha membentuk Bangsa Malaysia yang hidup bersatu padu, aman, dan harmoni.

Semua kandungan artikel ini dipetik dari www.mahasiswakini.com

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • feedmelinks
  • Furl
  • Ma.gnolia
  • NewsVine
  • Netvouz
  • Reddit
  • scuttle
  • Shadows
  • Smarking
  • Spurl
  • TailRank
  • YahooMyWeb